Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 57:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian"

  • E-Mirath dibangunkan dengan tujuan menjadi panduan kepada ahli waris untuk menguruskan Harta Pusaka Kecil orang Islam di negara ini.
  • Harta yang ditinggalkan si mati perlu ditentukan kategorinya terlebih dahulu sama ada sebagai Harta Pusaka Kecil, Harta Pusaka Ringkas, Harta Pusaka Besar (Biasa) berdasarkan kepada nilainya sebelum tuntutan harta pusaka boleh dibuat di agensi-agensi yang ditetapkan berdasarkan kepada kategori harta pusaka tersebut.
  • Sebelum harta pusaka menjadi hak milik ahli waris, terdapat hak-hak berkaitan harta tersebut yang perlu ditunaikan terlebih dahulu. Bagi memudahkan waris-waris membuat pengiraan pengurusan hak-hak tersebut, ahli waris boleh menggunakan E-Hisab.

Definisi Harta Pusaka Kecil

Harta peninggalan si mati yang mempunyai ciri-ciri berikut:

Harta tak alih (tanah) sahaja; atau

Harta tak alih (tanah) dan harta alih (wang tunai, saham, kenderaan dan sebagainya); dan

Jumlah nilaian harta keseluruhannya tidak melebihi RM2,000,000.00 pada tarikh permohonan dibuat

HAK-HAK HARTA PUSAKA SEBELUM PEMBAHAGIAN

Hak-hak yang perlu diselesaikan dengan menggunakan harta pusaka sebelum dibahagikan kepada waris-waris hendaklah ditunaikan berdasarkan urutan berikut:

1. Perbelanjaan Pengurusan Jenazah

  • Peralatan pengurusan jenazah
  • Upah memandikan jenazah
  • Pengkafanan
  • Kos pengangkutan jenazah
  • Pengebumian

    2. Hutang
    i) Hutang dengan Allah SWT
    • Haji dan umrah fardu
    • Zakat
    • Nazar
    • Kaffarah
    • Fidyah
    • Lain-lain
    ii) Hutang dengan Manusia
    • Individu
    • Institusi

    3. Tuntutan Harta Sepencarian

    4. Wasiat

    MENGAPA PERMOHONAN HARTA PUSAKA PERLU DIBUAT DENGAN SEGERA

    1. Memudahkan proses pembahagian pusaka dibuat.
    2. Mengelakkan kerumitan pembahagian harta pusaka kepada ahli waris akibat kematian berlapis.
    3. Membolehkan harta pusaka dimanfaatkan dengan segera bagi faedah semua waris.
    4. Mengelakkan harta si mati beku atau terbiar dan tidak terurus.
    5. Mengelakkan tunggakan cukai tanah akibat kelewatan pembahagian.
    6. Mengelakkan wang simpanan si mati dalam mana-mana institusi kewangan atau koperasi, saham-saham, bon dan sebagainya dipindahkan kepada Kumpulan Wang Tak Dituntut.

    PIHAK YANG BOLEH MEMBUAT PERMOHONAN PEMBAHAGIAN PUSAKA KECIL

    Antara pihak yang boleh membuat permohonan pembahagian harta pusaka si mati adalah:

    • Waris kepada si mati seperti balu lelaki atau perempuan, anak lelaki atau perempuan, ibu atau bapa dan Majlis Agama Islam/Baitulmal.
    • Pemiutang dan pengkaveat.
    • Pembeli di bawah perjanjian jual beli yang sah.
    • Pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah si mati.
    • Penghulu atau Pegawai Petempatan yang diarahkan oleh Pentadbir Tanah.
    • Amanah Raya Berhad.

    TEMPAT PERMOHONAN

    Permohonan boleh dibuat di Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian (JKPTG). JKPTG mempunyai 36 bahagian di seluruh negara dan setiap bahagian bertanggungjawab kepada beberapa daerah.

    Permohonan boleh dikemukakan di Bahagian Pembahagian Pusaka di mana terdapatnya harta tak alih si mati di daerah tersebut. Namun bagi daerah yang tidak terdapat Bahagian Pembahagian Pusaka, urusan penerimaan permohonan boleh dibuat melalui Pejabat Tanah di daerah berkenaan.

    Sekiranya si mati mempunyai harta tak alih di beberapa tempat sama ada di dalam negeri yang sama atau berlainan, maka permohonan hendaklah dikemukakan di satu tempat sahaja tanpa mengambil kira nilaian hartanah yang tertinggi.

    Walau bagaimanapun, waris boleh memohon agar kes berkenaan diselesaikan di daerah yang lain bagi kemudahan semua waris dengan syarat si mati turut mempunyai harta di daerah yang hendak dipindahkan. Permohonan boleh dibuat secara bertulis dengan mengemukakan alasan permohonan tersebut kepada Bahagian Pembahagian Pusaka yang berkenaan.

    KAEDAH PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA KECIL

    1. Pembahagian pusaka bagi si mati yang beragama Islam adalah mengikut hukum syarak/faraid.
    2. Pembahagian secara muafakat atau persetujuan bersama hanya boleh dilaksanakan sekiranya semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka si mati bersetuju. 
    3. Pembahagian bagi pegangan tanah di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 tidak boleh dibuat lebih daripada 2 orang. Sekiranya terdapat lebih daripada 2 orang yang berhak dan mereka tidak bersetuju secara muafakat memberi kepada 2 orang sahaja daripada mereka, maka Pentadbir Tanah boleh melantik Pentadbir kepada harta pusaka tersebut atau perintah jualan secara tender pegangan itu dalam kalangan waris di mana hasil jualan akan dibahagikan mengikut bahagian masing-masing.
    4. Jika si mati meninggalkan tanah adat di daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Tampin atau Jempol, maka pembahagian tanah pusaka adat tersebut adalah mengikut Enakmen Pemegangan Tanah Adat (Bab 215) atau Enakmen Pemegangan Tanah Adat (Tanah Lengkongan) 1960. Di mana mengikut Enakmen ini waris-waris yang berhak adalah keturunan perempuan yang sama sukunya dengan pemilik tanah adat itu, yang secara khusus mengikut giliran:
    • Anak perempuan dan cucu-cucu perempuan daripada anak perempuan, walaupun mereka meninggal dunia lebih awal daripada si mati.
    • Ibu si mati.
    • Saudara perempuan seibu sebapa dan seibu kepada si mati dan keturunannya dari pihak perempuan.
    • Ibu kepada ibu (wan si mati).
    • Saudara perempuan seibu sebapa dan seibu kepada wan (ibu kepada si mati) dan keturunannya dari pihak perempuan.

    AHLI PENYELIDIK

    Dr. Noor Lizza
    Mohamed Said

    ketua projek

    Dr. Mohd Zamro
    Muda

    Ahli

    Anwar Fakhri
    Omar​

    AHLI

    Muhammad Nazir
    Alias

    AHLI

    Md Yazid
    Ahmad

    AHLI