Latar Belakang

Keperluan kepada sistem pengurusan harta pusaka orang Islam yang berkesan dan berinovasi adalah sangat tinggi kerana masyarakat Islam di negara ini berdepan dengan kesulitan dalam proses pengurusan harta pusaka. Kesulitan yang berlaku adalah hasil daripada ketidakfahaman masyarakat Islam ke atas proses pengurusan harta pusaka sehingga ia menjadi salah satu penyebab kepada jumlah nilai harta pusaka milik orang Islam yang masih tidak dituntut oleh waris meningkat setiap tahun. Justeru, E-Mirath dan E-Hisab dibangunkan sebagai perintis kepada Sistem Pengurusan Harta Pusaka Orang Islam secara online. E-Mirath dan E-Hisab merupakan hasil penyelidikan PTS yang bertajuk Membangun Model Sistem Pengurusan Harta Pusaka Orang Islam Secara Online Untuk Kursus PPPA6173 Pengurusan Harta Pusaka Islam (PTS-2014-065). E-Mirath dan E-Hisab digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran kursus PPPA6173 dalam melahirkan graduan yang berkompeten dan berinovasi yang mampu menyelesaikan masalah pengurusan harta pusaka orang Islam di negara ini secara efektif. Penghasilan E-Mirath dan E-Hisab ini bukan sahaja memberi faedah kepada mahasiswa bahkan memberi impak yang besar kepada masyarakat Islam dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pengurusan harta pusaka orang Islam di negara ini.